Pembukaan Laluan Tambahan Di Lebuhraya AKLEH
Kuala Lumpur, 2 November 2015 – Projek Lintasan Kota Sdn Bhd, syarikat konsesi Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) akan membuka laluan tambahan di Lebuhraya AKLEH pada awal pagi Selasa iaitu 3 November 2015 untuk kegunaan para pengguna lebuh raya tersebut.
Laluan tambahan tersebut menyambungkan deck sedia ada dari KM4.6, Persimpangan Jalan Jelatek sehingga KM6.0, Persimpangan Jalan Ulu Kelang menghala ke kawasan Ampang dengan menyediakan laluan tiga lorong yang baharu sepanjang 1.4 km. Dengan adanya kemudahan terbaharu ini, dijangkakan sebanyak 35% masalah trafik ketika waktu puncak akan berkurangan. Laluan 3 lorong sehala yang lebih lebar akan menyumbang kepada pemanduan yang lebih selesa dan selamat untuk pengguna lebuh raya yang menghala ke Jalan Ulu Kelang, Jalan Lingkaran Tengah II (MRRII) dan Ampang
Pembukaan laluan tersebut telah disempurnakan oleh YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia di dalam sebuah majlis ringkas di Lebuhraya AKLEH. Kos pembinaan laluan tambahan yang dianggarkan sebanyak RM120 juta ditanggung sepenuhnya oleh syarikat konsesi.
Kerja-kerja pembinaan laluan tambahan ini mengambil masa pembinaan selama 18 bulan dan telah berjaya disiapkan lima bulan lebih awal dari perancangan asal. Laluan baru tersebut juga mempunyai kapasiti kawasan yang luas bagi menampung keadaan trafik di waktu puncak.
Untuk maklumat syarikat dan keadaan trafik terkini, sila ikuti laman sosial PROLINTAS di Twitter iaitu @AKLEHTrafik dan Facebook iaitu PROLINTAS Highways serta laman web PROLINTAS iaitu www.prolintas.com.my.
– TAMAT –
____________________________________________________________________________________________________________________________________________________
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Encik Mohd Ramali Abu Bakar
Ketua, Divisyen Komunikasi Korporat di 03 – 2164 2450
____________________________________________________________________________________________________________________________________________________
Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) sebuah syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB). Ia merupakan pemegang konsesi Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dan Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) melalui anak-anak syarikatnya. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang kami di www.prolintas.com.my.