Events

Recent corporate milestones and momentous occasions.

FASA 2 LEBUHRAYA SUKE DIBUKA KEPADA PENGGUNA MULAI 16 JUN 2023

FASA 2 LEBUHRAYA SUKE DIBUKA KEPADA PENGGUNA MULAI 16 JUN 2023

Kuala Lumpur, 15 Jun 2023 – Pembukaan Fasa 2 Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) telah dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi di Plaza Tol Alam Damai hari ini. Fasa 2 SUKE melibatkan baki jajaran utama sepanjang 7.8 kilometer bermula dari Sri Petaling, Lebuhraya Shah Alam (KESAS) sehingga Persimpangan Cheras-Kajang akan dibuka secara rasmi kepada pengguna bermula 12.01am, 16 Jun 2023.

Pembukaan Fasa 2 ini juga memiliki satu plaza tol iaitu Plaza Tol Alam Damai yang akan beroperasi secara percuma selama dua minggu bermula 16 Jun 2023, 12.01 am hingga 29 Jun 2023, 11.59 pm. Menerusi pembukaan jajaran Fasa 2 ini, pengguna dapat menggunakan keseluruhan jajaran utama Lebuhraya SUKE sepanjang 24.4 kilometer dari Sri Petaling ke Ulu Kelang.

Terdapat satu lagi persimpangan iaitu Jalan Susur (Ramp) Jalan Alam Damai masih dalam pembinaan dan dijangka siap dalam suku ketiga tahun ini. Secara keseluruhan, Projek Lebuhraya SUKE ini telah mencapai kemajuan pembinaan sebanyak 99.54%, setakat 4 Jun 2023.

Lebuhraya SUKE ini merupakan rangkaian lebuhraya yang menghubungkan lima (5) lebuhraya lain iaitu Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, Lebuhraya Cheras-Kajang (GRAND SAGA), Lebuhraya Hubungan Timur-Barat KL atau Lebuhraya Salak.

Pembukaan fasa terbaharu ini melengkapkan objektif utama Lebuhraya SUKE iaitu menyuraikan kepadatan trafik khususnya di sepanjang Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2). Ia dijangka membantu menampung sebahagian trafik yang lazimnya melalui MRR2 dan dapat memendekkan masa perjalanan dari Sri Petaling ke Ulu Kelang kepada 25 minit, berbanding 75 minit melalui laluan sedia ada.

Pihak Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia dan PROLINTAS menasihatkan semua pengguna lebuh raya supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan dan memandu secara berhemah.

Lebuhraya SUKE telah dibangun dan diuruskan oleh Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn. Bhd yang merupakan anak syarikat Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (PROLINTAS).