Announcements

Stay updated with the latest happenings.

Papan Tanda Lebuhraya SUKE Ikut Piawaian yang diluluskan pihak berkuasa

Papan Tanda Lebuhraya SUKE Ikut Piawaian yang diluluskan pihak berkuasa

Kuala Lumpur, 21 September 2022 – Kumpulan Syarikat Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd menerusi anak syarikatnya Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd mengesahkan papan tanda yang dipasang di sepanjang Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang baru beroperasi adalah mengikut piawaian yang ditetapkan dan telah mendapat kelulusan daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Papan tanda itu dipasang pada gantri yang terletak di setiap 250 meter sebelum persimpangan bercabang. Manakala, sebagai inisiatif yang diambil pihak perunding dilantik dan syarikat, satu lagi papan tanda tambahan turut dipasang di tengah-tengah cabang simpang di atas papan tanda arah.

Oleh sebab kekangan  kawasan, saiz papan tanda tambahan yang digunakan adalah lebih kecil berbanding papan tanda sedia ada. Walau bagaimanapun, susulan maklum balas dan pandangan orang ramai di media sosial yang tular baru-baru ini, pihak syarikat memutuskan untuk mencabut papan tanda tambahan itu dengan serta merta agar tidak mengelirukan pengguna lebuh raya berkenaan.

Gambar 2: Papan tanda arah yang digazetkan di Lebuhraya SUKE memaparkan susur keluar ke Hulu Langat dan Ampang, Tasik Tambahan & Jalan Taman Putra.

Bahagian operasi Lebuhraya SUKE komited untuk terus menambah baik perkhidmatan disediakan serta sedang mereka bentuk papan tanda tambahan baharu yang lebih praktikal dan dijangka siap dalam masa terdekat tertakluk kepada kelulusan pihak bekuasa.

PROLINTAS juga ingin menegaskan bahawa struktur binaan Lebuhraya SUKE adalah selamat dan mengikut piawaian yang telah ditetapkan serta menerima kelulusan yang sewajarnya seperti yang tertakluk dalam Perjanjian Konsesi (CA). Sekali gus menyangkal dakwaan terdapat bahagian lebuh raya yang sudah beroperasi tidak selamat untuk digunakan.

Gambar 3: Pekerja kontrak mencabut papan tanda tambahan yang diletakkan pada persimpangan bercabang di susur keluar 1907A (Hulu Langat) dan 1907B (Ampang, Tasik Tambahan & Jalan Taman Putra).

Kami menghargai dan menggalakkan pengguna untuk menyampaikan pandangan dan maklum balas demi memastikan perkhidmatan yang disediakan di Lebuhraya SUKE terus berada pada tahap yang terbaik.

Sebarang pertanyaan atau maklum balas boleh disampaikan terus kepada kami menerusi hotline 1-300-88-9922 atau boleh emelkan ke feedback.suke@prolintas.com.my.