Events

Recent corporate milestones and momentous occasions.

PROLINTAS AGIH 1957 NASI LEMAK PERCUMA DI PLAZA TOL SEMPENA HARI KEBANGSAAN 2023

PROLINTAS AGIH 1957 NASI LEMAK PERCUMA DI PLAZA TOL SEMPENA HARI KEBANGSAAN 2023

Kuala Lumpur, 31 Ogos 2023 – Sempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-66, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (PROLINTAS) mengagihkan 1,957 nasi lemak percuma kepada pengguna yang melalui beberapa plaza tol di enam lebuh raya kendaliannya.

Menurut Ketua Divisyen Komunikasi Korporat PROLINTAS, Badri Ibrahim, agihan itu dijalankan bermula dari jam 8 pagi menyasarkan pengguna lebuh raya yang keluar bagi meraikan kemerdekaan negara di sekitar Lembah Klang.

“Nasi lemak diedarkan di setiap lebuh raya kendalian PROLINTAS. Lokasi agihan ialah Plaza Tol Datuk Keramat, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Plaza Tol Bukit Jelutong, Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Plaza Tol Alam Impian, Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Plaza Tol Sungai Ramal, Lebuhraya Kajang SILK,” jelas beliau.

“Agihan sama turut dijalankan di Plaza Tol Alam Damai (arah Sri Petaling) dan Plaza Tol Ampang (arah Ulu Kelang), Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) serta Plaza Tol Kota Damansara (arah Kuala Lumpur), Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH),” katanya.

Sementara itu, lebih 1,000 nasi lemak diagihkan di Kawasan Rehat Elmina, Lebuhraya GCE menjadikan jumlah keseluruhan agihan 3,000 nasi lemak.

“Aktiviti ini bertujuan untuk memeriahkan sambutan kemerdekaan terutama dalam kalangan pengguna lebuh raya. Pemberian 1,957 nasi lemak itu sempena tahun bersejarah kemerdekaan negara, selain sebagai simbolik perpaduan dan hidangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa, agama dan budaya,” tambah Badri.

Bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 kali ini juga, pelbagai kempen dijalankan bersama warga kerja dan peniaga di kawasan rehat lebuh raya PROLINTAS sehingga 16 September depan. Kira-kira 600 Jalur Gemilang dipasang di sepanjang AKLEH, GCE, LKSA, SILK, SUKE dan DASH.

Bagi menghangatkan lagi suasana sambutan itu, PROLINTAS turut menjalankan Pertandingan Menghias Premis Jualan di Kawasan Rehat Elmina, Lebuhraya GCE. Peniaga-peniaga telah menghias premis jualan dengan barangan terpakai dengan tema kemerdekaan bagi menggalakkan aktiviti kitar semula dan kelestarian. Kempen memakai pakaian bertemakan kemerdekaan ke pejabat juga dijalankan pada 30 Ogos bagi menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan warga kerja PROLINTAS.

Bahagian operasi lebuh raya PROLINTAS bersiap siaga dalam memastikan kelancaran trafik warga kota yang menggunakan lebuh raya-lebuh rayanya sempena cuti umum dan sambutan perayaan kemerdekaan hari ini.