Events

Recent corporate milestones and momentous occasions.

PROLINTAS, FREE TREE SOCIETY SUNTIK MINAT BERKEBUN DALAM KALANGAN MURID TABIKA KEMAS

PROLINTAS, FREE TREE SOCIETY SUNTIK MINAT BERKEBUN DALAM KALANGAN MURID TABIKA KEMAS

Kuala Lumpur – Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (PROLINTAS) meneruskan inisiatif kesedaran alam sekitar menerusi kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO), Free Tree Society (FTS) dalam menjalankan Kempen Berkebun PROLINTAS Bersama Murid Tabika KEMAS.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PROLINTAS, Dato’ Mohammad Azlan Abdullah, inisiatif ini adalah salah satu daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat di bawah teras alam sekitar dan pendidikan bertujuan untuk menyuntik minat berkebun dan kecintaan terhadap pokok dalam kalangan murid tadika.

“PROLINTAS percaya bahawa pendedahan berkenaan ilmu bercucuk tanam dan kesedaran terhadap alam sekitar perlu dipupuk sejak dari fasa pendidikan awal kanak-kanak. Inisiatif ini juga menjadi perangsang bagi memperkasa elemen kelestarian dalam modul perniagaan kami,” jelas beliau.

“Kerjasama dengan FTS ini ialah inisiatif berterusan syarikat. Sebelum ini, PROLINTAS juga telah mengadakan aktiviti menanam pokok di Taman Tugu, Kuala Lumpur dan sesi perkongsian ilmu berkenaan alam sekitar dengan NGO berkenaan,” tambahnya.

Dato’ Mohammad Azlan menambah, kira-kira 200 murid tabika dan lebih 50 sukarelawan PROLINTAS mengambil bahagian dalam aktiviti berkebun yang diadakan secara beperingkat sejak Jun lalu. Beberapa perkara diberikan penekanan sepanjang kempen berlangsung termasuk kaedah penanaman pokok yang baik dan kepentingannya terhadap alam sekitar.

Enam tadika di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) telah dikenal pasti untuk mengambil bahagian iaitu Tabika KEMAS Lembah Jaya Selatan yang terletak berhampiran Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), Tabika KEMAS Dato Ahmad Razali berdekatan Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) dan Tabika KEMAS Seksyen 18 Barat yang terletak berdekatan Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA).

Program sama turut dijalankan di Tabika KEMAS Subang Perdana berhampiran Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH), Tabika KEMAS Kampung Sungai Balak berdekatan Lebuhraya Kajang SILK dan Tabika Minda Ceria Kampung Merbau Sempak yang terletak berhampiran Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE).

PROLINTAS komited dalam mendukung aspirasi menjadi penyedia lebuh raya pilihan pengguna di Lembah Klang dengan terus menjalankan aktiviti bersama masyarakat selain terus menambah baik kualiti perkhidmatan lebuh raya dari semasa ke semasa.