CSR

PROLINTAS MENYUMBANG UNTUK NAIK TARAF PUSAT PENJAGAAN ANAK PENGHUNI PENJARA WANITA KAJANG

PROLINTAS MENYUMBANG UNTUK NAIK TARAF PUSAT PENJAGAAN ANAK PENGHUNI PENJARA WANITA KAJANG

Kuala Lumpur – Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (PROLINTAS) tampil selaku salah satu penaja bagi Projek Cradle for Inclusive Nurturing and Teaching Atmosphere (C.I.N.T.A CARE) untuk menaik taraf pusat penjagaan anak-anak penghuni Penjara Wanita Kajang yang berusia kurang 3 tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PROLINTAS, Dato’ Mohammad Azlan Abdullah berkata, inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang diterajui oleh alumni Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu bertujuan untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif, selamat dan menggalakkan bagi anak-anak penghuni penjara terbabit sekali gus meningkatkan kesejahteraan fizikal, mental dan emosi mereka secara keseluruhan.

“Untuk projek ini, kami telah menaja permainan dinding berbongkah lego BrickMatrix LEGO Artwork bagi merangsang kreativiti dan meningkatkan perkembangan kognitif kanak-kanak, selain turut memberi pendedahan awal untuk pendidikan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) kepada mereka,” ujarnya.

“Kemudahan itu selari dengan konsep reka bentuk moden dan amalan terbaik penjagaan kanak-kanak yang ingin diterapkan di pusat penjagaan berkenaan termasuk penyediaan ruang montessori, bahan pendidikan, televisyen, ruang tidur serta ruang penyusuan khusus yang bersih dan selesa,” jelas beliau.

Menurut beliau, projek itu juga diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Malaysia (UNESCO Malaysia). PROLINTAS sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana organisasi demi usaha murni sedemikian.

Untuk rekod, projek ini merupakan kesinambungan projek sama yang dimulakan pada awal tahun ini. Sebelum ini, fokus diberikan kepada penambahbaikan peralatan dan kemudahan bengkel pembuatan pastri di penjara berkenaan. Dana bantuan yang turut disumbang oleh PROLINTAS telah berjaya membantu penghuni penjara itu untuk menjana pendapatan.

PROLINTAS akan terus mencari peluang bagi membantu golongan memerlukan selari aspirasinya untuk menjadi penyedia lebuh raya yang prihatin selain terus menambah baik kualiti perkhidmatan lebuh raya dari semasa ke semasa.