Events

Recent corporate milestones and momentous occasions.

PROLINTAS PERINTIS BUKU PANDUAN TATACARA PELAKSANAAN FUNGSI TERAS SPRM

PROLINTAS PERINTIS BUKU PANDUAN TATACARA PELAKSANAAN FUNGSI TERAS SPRM

Kuala Lumpur – Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (PROLINTAS) tampil selaku perintis bagi penerbitan buku panduan Tatacara Pelaksanaan Fungsi Teras Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang direka khusus untuk panduan Unit Integriti dan Governans bagi Syarikat Berkepentingan Kerajaan (SBK).

Perasmian buku itu telah disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dato’ Sri Azam Baki pada Hari Integriti 2023 yang dianjurkan oleh PROLINTAS dengan kerjasama SPRM pada 4 September 2023. Inisiatif berkenaan menjadi simbolik misi usahasama berterusan antara PROLINTAS dan SPRM bagi menggalakkan ketelusan, integriti dan tadbir urus yang berkesan dalam ruang lingkup SBK.

Versi terbaharu tatacara itu telah dibangunkan secara teliti oleh Divisyen Pengurusan Integriti Agensi, SPRM yang dipimpin oleh Pengarah Divisyen berkenaan, Dato’ Nor Azmi Karim.

Manakala, PROLINTAS menjadi peneraju bagi terjemahan buku panduan berkenaan ke dalam Bahasa Inggeris dan menaja penerbitannya yang akan diedarkan ke lebih 300 SBK seluruh negara.

Melalui inisiatif PROLINTAS itu, SPRM telah menawarkan insentif pengecualian cukai kepada pihak syarikat selain menjadi penerbit bersama rasmi buku panduan itu. Selain PROLINTAS, panduan baharu buku itu turut dibangunkan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB), Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Khazanah Nasional Berhad, Indah Water Konsortium (IWK) dan UEM Sunrise Berhad.

Buku itu merupakan sumber penting bagi SBK khususnya bagi Unit Integriti dan Governans, selari dengan saranan Jabatan Perdana Menteri. Buku ini menerangkan panduan khusus bagi pihak terlibat untuk memperkukuh nilai integriti organisasi masing-masing sejajar dengan matlamat SPRM.

Sementara itu, pada program Hari Integriti 2023, turut dijalankan sesi perkongsian ilmu dan forum memfokuskan topik-topik penting dalam bidang integriti, tadbir urus terbaik dan governans korporat yang disampaikan oleh panel jemputan yang berpengalaman luas dalam bidang mereka termasuk Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali.

‘Lebih 200 peserta yang terdiri daripada pegawai-pegawai Unit Integriti dan Governans SBK seluruh negara telah hadir ke program berkenaan.

PROLINTAS komited untuk terus memartabatkan nilai integriti dan tadbir urus berkualiti dalam pengoperasian, pengendalian projek dan misi kelestariannya. Usaha syarikat dalam memperkukuh pencegahan anti rasuah khususnya pendekatan proaktif dalam mematuhi Seksyen 17A Liabiliti Korporat telah membolehkan kadar risiko rasuah yang dinilai oleh SPRM berbubah daripada tinggi kepada sederhana.

Untuk rekod, PROLINTAS telah menjadi pengendali lebuh raya pertama di Malaysia yang diiktiraf Anugerah Emas dalam Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2022.

Lapan anak syarikat di bawah Kumpulan Syarikat PROLINTAS telah berjaya memperoleh pensijilan antarabangsa ISO 37001:2016 bagi sistem pengurusan anti rasuah (ABMS) daripada badan penilaian yang diakreditasi Jabatan Standard Malaysia, SIRIM QAS dan United Kingdom Accreditation Service sejak 2020.

Pensijilan itu juga telah menjadikan PROLINTAS sebagai pengendali lebuh raya pertama di Malaysia menerima sijil ABMS yang diperolehi menerusi penilaian ketat dan komprehensif mengenai dasar serta prosedur anti rasuah.