Announcements

Stay updated with the latest happenings.

Hampir 100,000 kenderaan masuk lebuhraya SUKE 24 jam pertama fasa 1 pembukaan

Hampir 100,000 kenderaan masuk lebuhraya SUKE 24 jam pertama fasa 1 pembukaan

Pengguna dilarang berhenti di bahu jalan tanpa sebarang alasan kecemasan demi keselamatan diri sendiri dan pengguna lebuh raya lain.

Kuala Lumpur, 19 September 2022 – Hampir 100,000 kenderaan direkod menggunakan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) pada 24 jam pertama selepas fasa pertama dibuka kepada pengguna bermula 12 tengah hari, 16 September 2022 sehingga 12 tengah hari, 17 September 2022.

Seawal jam 11.30 pagi Jumaat lalu, pengguna lebuh raya mula beratur di setiap persimpangan masuk Lebuhraya SUKE, bermula dari Persimpangan Cheras-Kajang sehinggalah ke Persimpangan Bukit Antarabangsa melibatkan jajaran sepanjang 16.6 kilometer.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS), Dato’ Mohammad Azlan Abdullah, sambutan yang diterima itu amat luar biasa dan menjangkaui sasaran purata trafik harian (ADT) Lebuhraya SUKE untuk fasa pertama iaitu 80,000 kenderaan sehari.

Gambar 2: Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PROLINTAS, Dato’ Mohammad Azlan Abdullah meninjau aktiviti pemantauan lalu lintas hari pertama fasa 1 Lebuhraya SUKE di pusat kawalan trafik Plaza Tol Bukit Teratai.

“Kebanyakan pengguna terawal Lebuhraya SUKE terdiri daripada penduduk sekitar yang mengambil kesempatan cuti umum sempena Hari Malaysia untuk merasai sendiri pengalaman perjalanan di atas lebuh raya bertingkat terbaharu di Lembah Klang ini. Terima kasih buat pengguna Lebuhraya SUKE atas sokongan dan maklum balas yang diberikan kepada kami.”

Dalam pada itu, PROLINTAS menerusi anak syarikatnya Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd mengambil maklum bahawa terdapat segelintir pengguna lebuh raya yang teruja dan berhenti di laluan kecemasan untuk merakam pemandangan di beberapa lokasi dalam Lebuhraya SUKE.

Gambar 3:Unit Polis Bantuan PROLINTAS mengawal rapi dan membuat rondaan di beberapa lokasi panas di sepanjang Lebuhraya SUKE yang menjadi tumpuan pengguna.

“Kami melarang sama sekali pengguna daripada memberhentikan kenderaan di bahu jalan tanpa alasan kecemasan kerana perbuatan itu adalah amat berbahaya bukan sahaja kepada diri mereka sendiri, malah pengguna lebuh raya lain,” tegas Dato’ Mohammad Azlan.

“Aspek keselamatan sentiasa diutamakan oleh PROLINTAS. Kami cukup berbesar hati dengan sokongan yang diberikan pengguna. Namun, kami berharap agar semua pihak dapat menjaga aspek keselamatan di lebuh raya agar tiada insiden tidak diingini berlaku,” tambah beliau.

Beberapa lokasi panas telah dikenal pasti oleh bahagian operasi Lebuhraya SUKE yang menjadi tumpuan pengguna di sepanjang jajaran lebuh raya. Kon-kon keselamatan telah ditempatkan di lokasi berkenaan untuk membendung pengguna daripada berhenti tanpa alasan kecemasan.

Gambar 4:Kon-kon keselamatan diletakkan di beberapa lokasi panas tumpuan pengguna di sepanjang Lebuhraya SUKE untuk membendung kenderaan berhenti tanpa alasan kecemasan.

Unit Polis Bantuan PROLINTAS atau “peronda SUKE” yang bertugas 24 jam juga melakukan rondaan dengan lebih kerap dan ditempatkan di lokasi-lokasi panas itu. Papan tanda “Dilarang Berhenti Kecuali Kecemasan” juga akan dipasang di kawasan dikenal pasti dalam masa terdekat. Mesej sama akan dipaparkan pada Sistem Mesej Pelbagai (VMS) di sepanjang lebuh raya sebagai peringatan kepada pengguna.

Bahagian operasi Lebuhraya SUKE akan memastikan penyelenggaraan lebuh raya berada di tahap optimum selain akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan aliran trafik berjalan lancar.

Di setiap 1 kilometer Lebuhraya SUKE dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dengan 40 unit dipasang di sepanjang jajaran di kedua-dua hala. Bahagian operasi sentiasa memerhati pergerakan trafik dan menghubungi peronda SUKE untuk ke lokasi jika terdapat sebarang kecemasan atau gangguan.

Turut disediakan, 22 telefon kecemasan dan 22 sistem pengesan kenderaan dan kemalangan (VIDS) pada tiang bersepadu. Seluruh jajaran Lebuhraya SUKE juga diterangi dengan 3,377 lampu LED untuk memastikan keselamatan pengguna terjamin terutama pada waktu malam.

Sementara itu, sebuah Kawasan Rewat dan Rawat (RSA) akan dibangunkan berdekatan Persimpangan Tasik Tambahan agar pengguna boleh menikmati permandangan panorama Kuala Lumpur itu dengan selesa dan selamat pada masa akan datang.

Pelancaran fasa pertama Lebuhraya SUKE telah diumumkan oleh Menteri Kanan Kerja Raya Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof dengan tol diberikan secara percuma selama sebulan. Ia melibatkan dua plaza tol iaitu Plaza Tol Bukit Teratai dan Plaza Tol Ampang serta 11 persimpangan keluar dan masuk.