Events

Recent corporate milestones and momentous occasions.

LAWATAN HORMAT KE PEJABAT ADUN LEMBAH JAYA

LAWATAN HORMAT KE PEJABAT ADUN LEMBAH JAYA

Wakil PROLINTAS hari ini mengadakan lawatan hormat ke pejabat ADUN Lembah Jaya, YB Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad bagi membincangkan berkenaan insiden objek asing yang telah mengakibatkan seorang pengguna cedera ketika melalui susur masuk ke Lebuhraya SUKE dari Kampung Dato Mufti Shuib menuju Kuala Lumpur baru-baru ini.

Delegasi diketuai Pengurus Besar SUKE, En. Zakaria Shaffie itu menerangkan tindakan diambil selepas mendapat aduan insiden termasuk kerja-kerja pembersihan objek asing yang dijumpai di lokasi kejadian dan inisiatif yang boleh diambil untuk membantu mangsa.

Pengguna Lebuhraya SUKE, Muhammad Zulhimi Mohamed Zamri yang turut hadir dalam perjumpaan itu memberitahu beliau cedera ringan di bahagian leher selepas terlanggar tali tangsi layang-layang yang tersangkut pada tiang lampu di lokasi kejadian pada Isnin. Tiada sebarang kerosakan atau kerugian pada motorsikal yang ditunggang dilaporkan.

Dalam perjumpaan tadi, YB Syed Ahmad yang juga selebriti tanah air dikenali dengan nama Altimet memaklumkan bahawa pihaknya telah berbincang dengan jawatankuasa kampung sekitar untuk memastikan aktiviti riadah seperti permainan layang-layang dipantau agar tidak membahayakan orang lain termasuk pengguna lebuh raya. Beliau juga menolak sebarang isu khianat untuk kejadian yang baru berlaku itu.

Pihak PROLINTAS juga menyarankan mana-mana pengguna lebuh raya atau penduduk sekitar untuk melaporkan sebarang insiden, terlihat objek asing atau menyedari sebarang aktiviti mencurigakan dengan menghubungi talian Hotline PROLINTAS 1800 22 8888 atau emelkan ke feedback@prolintas.com.my.