Events

Recent corporate milestones and momentous occasions.

Lebuhraya DASH Sepanjang 20.1 Kilometer Dibuka Secara Rasmi Kepada Pengguna Mulai 14 Oktober 2022

Lebuhraya DASH Sepanjang 20.1 Kilometer Dibuka Secara Rasmi Kepada Pengguna Mulai 14 Oktober 2022

SHAH ALAM – Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob hari ini telah merasmikan pembukaan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) melibatkan jajaran sepanjang 20.1 kilometer bermula dari Puncak Perdana ke Penchala.

Sejurus pelancaran itu, Lebuhraya DASH akan mula beroperasi dan dibuka secara rasmi kepada pengguna bermula 12.01 tengah malam 14 Oktober 2022 dengan tol diberikan secara percuma sehingga 30 November 2022.

Lebuhraya DASH ialah lebuh raya bertingkat tiga lorong dua hala melibatkan 13 persimpangan, tiga plaza tol dan dua hentian sebelah.

Lebuh raya ini merupakan laluan alternatif kepada pengguna dari Shah Alam di barat untuk ke Kuala Lumpur di timur bagi mengurangkan kesesakan, masa perjalanan dan menyuraikan trafik yang lebih berkesan bagi kawasan-kawasan di antara dua bandar tersebut.

Ia dijangka mengurangkan kesesakan trafik di sepanjang Persiaran Mokhtar Dahari, Jalan Sungai Buloh dan Persiaran Surian sehingga 40% pada waktu puncak.

Lebuhraya DASH menghubungkan beberapa rangkaian lebuh raya seperti Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT).

Lebuhraya DASH dijangka mampu merangsang pembangunan dan pertumbuhan kawasan- kawasan ekonomi seperti perumahan dan komersial baharu di sepanjang lebuh raya termasuk Puncak Alam, Elmina dan Kwasa Damansara.

Projek Lintasan Damansara-Shah Alam Sdn. Bhd, anak syarikat Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (PROLINTAS) telah membangunkan lebuh raya ini bermula Ogos 2016.

Sesuai hasrat kerajaan dalam mengurangkan beban hidup rakyat, Jemaah Menteri pada 3 November 2021 telah bersetuju dengan cadangan penstrukturan semula empat (4) buah syarikat konsesi lebuh raya bertol di bawah kendalian PROLINTAS, selain turut bersetuju pada 18 Mei 2022 dengan cadangan pengumuman awal pengurangan kadar tol bagi Lebuhraya Bertingkat Ampang – KL (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning – Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK) yang akan bermula 20 Oktober 2022.

Manakala pengurangan kadar tol bagi Lebuhraya LEKAS dan BESRAYA di bawah kumpulan IJM Corporation Berhad yang telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri pada 1 Jun 2022 akan berkuatkuasa bermula 1 Januari 2023.

Kerajaan juga telah bersetuju ke atas Cadangan Pelebaran Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dari Tol Plaza Gombak ke Tol Plaza Bentong pada 4 Mac 2022 bagi tujuan pembinaan lorong tambahan dan satu terowong baharu di Genting Sempah untuk menampung trafik yang tinggi serta menangani masalah kesesakan lalu lintas di lebuh raya ke Pantai Timur.

Susulan daripada kejadian banjir yang seringkali berlaku di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), kerja-kerja tebatan banjir di lebuhraya LPT1 juga akan dilaksanakan.

Kesemua kerja-kerja penambahbaikan ini mengambil kira penstrukturan semula kadar tol dengan perjanjian konsesi tambahan sedang dimuktamadkan.

Melalui penstrukturan terbaharu ini, Kerajaan telah menjimatkan kira-kira RM8.8 bilion dalam bentuk pampasan yang sepatutnya dibayar kepada syarikat konsesi yang terlibat. Di samping itu, pengguna lebuh raya bakal menikmati kadar tol yang lebih rendah bagi meringankan beban kos sara hidup.