Events

Recent corporate milestones and momentous occasions.

PROLINTAS, JPJ SELANGOR TINGKAT KESEDARAN KESELAMATAN JALAN RAYA DALAM KALANGAN PELAJAR SEKOLAH

PROLINTAS, JPJ SELANGOR TINGKAT KESEDARAN KESELAMATAN JALAN RAYA DALAM KALANGAN PELAJAR SEKOLAH

Kuala Lumpur, 23 November 2023 – Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (PROLINTAS) menjalin kerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor bagi memberi pendedahan dan meningkatkan kesedaran berkaitan keselamatan jalan raya dalam kalangan pelajar sekolah menerusi Karnival Advokasi Keselamatan Jalan Raya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 18 Shah Alam, hari ini.

Ketua Pegawai Operasi (Projek & Operasi) PROLINTAS, Ir. Rostam Shahrif Tami berkata, selaku pengendali lebuh raya terbesar di Lembah Klang, menjadi tanggungjawab syarikat untuk bersama-sama memupuk etika di jalan raya yang baik dalam kalangan pengguna.

“Usaha menyemai nilai itu perlu dibudayakan dalam kalangan remaja sejak di bangku sekolah dengan penglibatan terus oleh pihak JPJ demi melahirkan generasi pengguna jalan raya masa depan yang berhemah, bertanggungjawab dan patuh undang-undang,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan karnival berkenaan.

“Inisiatif ini bukanlah yang pertama dijalankan bersama JPJ Selangor. Inisiatif sama pernah dijalankan pada 2018. PROLINTAS berbesar hati program sedemikian diteruskan lagi tahun ini bukti keberkesanan program terdahulu,” tambahnya.

Jelas Ir. Rostam, tujuh sekolah yang terletak berhampiran lebuh raya di bawah kendalian PROLINTAS telah dikenal pasti untuk mengambil bahagian dalam program ini. Sekolah-sekolah terlibat ialah, SMK Seksyen 18 Shah Alam, SMK Seksyen 24 (2), SMK Seksyen 19 Shah Alam, SMK Subang Taman Subang Baru, SMK Bukit Gading Sungai Plong, SMK Bandar Baru Sungai Long dan SMK Taman Medan.

Seramai 200 peserta menyertai program berkenaan terdiri daripada pelajar yang juga ahli Kelab Kadet JPJ di bawah seliaan JPJ Selangor, guru, wakil agensi-agensi kerajaan dan swasta serta badan bukan kerajaan (NGO).

Pelbagai aktiviti menarik dijalankan bagi menerapkan mesej keselamatan seperti permainan Selangor Cares About Road Safety Educational Race (SCORER), segmen advokasi motorsikal dan basikal pelajar, ceramah dan taklimat berkaitan keselamatan jalan raya serta pameran keselamatan jalan raya.

PROLINTAS berharap program ini berjaya mencapai matlamat mengurangkan kadar kemalangan sekali gus merealisasikan kempen sifar kematian akibat kemalangan jalan raya.