CSR

PROLINTAS SUMBANG BARANG KEPERLUAN SEKOLAH KEPADA 200 PELAJAR B40

PROLINTAS SUMBANG BARANG KEPERLUAN SEKOLAH KEPADA 200 PELAJAR B40

 

Shah Alam, 12 Mac 2022 – Seramai 200 pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan menerima sumbangan barangan keperluan asas persekolahan sempena Program Kembali ke Sekolah yang dijalankan oleh Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd (PROLINTAS) tahun ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PROLINTAS, Dato’ Mohammad Azlan Abdullah, Program Kembali ke Sekolah ialah salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) tahunan di bawah teras komuniti yang dijalankan syarikat bertujuan untuk meringankan beban kos sara hidup masyarakat.

“Persiapan persekolahan melibatkan kos yang agak tinggi lebih-lebih lagi bagi keluarga berpendapatan rendah yang tergolong dalam kategori B40. Menyedari perkara itu, PROLINTAS tampil setiap tahun menyediakan bantuan barangan keperluan asas persekolahan seperti sepasang pakaian sekolah, kasut, stoking dan beg,” ujarnya.

“Di samping itu, Program Kembali ke Sekolah ini juga turut menjadi sebahagian daripada usaha kelestarian PROLINTAS dalam menyantuni masyarakat tempatan selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) keempat iaitu Pendidikan Berkualiti,” tambahnya.

200 murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah yang dipilih untuk menerima sumbangan ini tinggal berhampiran jajaran enam lebuh raya di bawah portfolio PROLINTAS.

Seramai 30 pelajar yang dipilih daripada Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jelatek berdekatan Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), 40 pelajar dari Kampung Sungai Ramal Luar sekitar Lebuhraya Kajang SILK (SILK), 30 pelajar dari Flat Sri Lembayung berhampiran Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan 40 pelajar dari PPR Raya Permai di sekitar Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) telah menerima sumbangan berkenaan sejak 2 Mac 2023.

Manakala, hari ini, 60 lagi pelajar menerima sumbangan berkenaan melibatkan 30 pelajar dari Flat Bukit Subang di sekitar Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dan 30 pelajar dari Kampung Melayu Subang berdekatan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH).

PROLINTAS ialah pengendali lebuh raya bandar terbesar di Lembah Klang dengan enam lebuh raya di bawah portfolionya iaitu Lebuhraya AKLEH, Lebuhraya GCE, Lebuhraya LKSA, Lebuhraya Kajang SILK, Lebuhraya SUKE dan Lebuhraya DASH.